Rabu, 17 September 2008

Seindah Mawar berduri ep1

S E.I N D A H M A W A R B E R D U R I
"Khazinatul asrar , kau pencuri!" Khazinatul Asrar tergamam melihat sekeping nota kecil
berwarna biru lembut yang terselit di dalam buku Usul Fiqh nya. Seribu persoalan
bertandang di benak fikiran.
"Apa yang aku curi?" bisiknya sendiri penuh kehairanan.
Matanya liar memerhati sekeliling dewan kuliah, manalah tahu kalau–kalau ada mata
yang sedang melihat reaksinya tatkala dia menatap nota itu…mata yang mungkin sedang
nakal melihatnya dirinya diperlakukan begitu. Namun tiada seorang pun daripada rakan
sekuliahnya yang menunjukkan reaksi yang mencurigakan. Masing–masing sibuk dengan
kerja sendiri.

"Biarkanlah..!!" hatinya berbisik lagi . Dia tidak mahu menyerabutkan fikirannya untuk
berfikir soal nota kecil itu yang dirasakan suatu gurauan semata–mata.Lengan jubahnya
ditarik sedikit untuk melihat jam di tangannya. Sudah pukul 8.50 pagi! 10 minit lagi kelas
Usul Fiqh akan bermula. Sekejap saja lagi Dr.Maisarah yang sering mengawali waktu
akan masuk untuk memulakan sessi kuliyahnya. Tepat seperti apa yang disangka,
derapan laju tapak kasut seorang wanita 40-an itu memang cukup dikenalinya. Masuklah
doktor falsafah dalam bidang Pengajian Islam itu. Tatkala itu juga, barulah Khaznatul
Asrar sedar bahawa kerusi di sebelahnya masih kosong.
"Mana Hijriah?" getus hatinya. Pandangannya terbuang keluar pintu dewan untuk
mencari–cari kelibat rakan sebilik, sekamsis dan sekuliahnya itu kalau-kalau dia terlewat
datang. Hampa. "Mungkin dia kurang sihat…kasihan dia tak dapat mengikuti kuliah hari
nie. Tapi…betulkah dia sakit? kalau demam sikit–sikit tu, dia tak mungkin tinggalkan
kelas. Hijriah bukan begitu orangnya…" hatinya berbicara sendiri. Sedikit rasa bimbang
datang bertamu.

"Hijriah tak datang hari ni? Err , boleh saya duduk sini?"
Lamunan Khazinatul Asrar terhenti oleh sapaan Tsabit yang tiba–tiba datang melabuhkan
punggung di sebelahnya tanpa diundang. Khazinatul Asrar hanya mampu berdiam diri,
jiwanya beristighfar panjang kerana tidak selesa didampingi oleh seorang lelaki ajnabi.
Apatah lagi lelaki itu memang sejak dulu lagi sering untuk cuba untuk mendekatinya
tetapi tidak pernah dilayan. Pelajar–pelajar Fakulti Pengajian Islam, UKM terus
memfokuskan perhatian kepada Dr.Maisarah sebaik sahaja kelas bermula.
"Kenapa sorang jea hari nie? Mana Hijriah?" tersembul pertanyaan itu dari mulut Tsabit
sedangkan Dr.Maisarah sedang lantang memberikan kuliahnya. Seolah–olah dia ingin
memulakan perbualan. Konsentrasi Khazinatul Asrar terganggu seketika.
Bibirnya digetap. Geram. Astargfirullah…

"Maafkan saya, saudara. Kita di dewan kuliah sekarang nie!" Khazinatul Asrar bernada
agak tegas tanpa menjeling sedikitpun kepada Tsabit apatah lagi untuk menoleh. Dia
tidak mahu membuka ruang kepada Tsabit yang sering mencari peluang.
Pandangannya tetap setia tertumpu pada Dr.Maisarah namun pertanyaan Tsabit itu
membuat fikirannya melayang memikirkan Hijriah yang tidak datang ke kuliah.
Persoalan–persoalan yang berlegar di mindanya ditambah pula dengan ketidakselesaan
didampingi Tsabit menyebabkan dia tewas untuk memberikan sepenuh perhatian kepada
syarahan Dr.Maisarah.

Dalam sedar mahupun tidak, fikirannya melayang entah kemana. Wajah Hijriah berlegar–
legar disudut ingatan.
Masakan tidak, Hijriah bersiap–siap seperti biasa pagi tadi. Ceria seperti hari–hari biasa.
Langsung tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia sakit. Tak mungkin tiba–tiba sahaja
dia jatuh sakit. Apa yang telah terjadi kepadanya?
Terbit pula kesalan dihatinya kerana tidak pergi ke dewan kuliah bersama–sama Hijriah.
Bukan apa, Hijriah suka datang lambat sedangkan Khazinatul Asrar lebih gemar datang
awal ke dewan kuliah agar bolehlah dia mengulangkaji secara ringan sebelum kuliyah
bermula.

Tsabit yang menyedari dirinya telah menimbulkan kemarahan Khazinatul Asrar lagi,
mula memberikan sepenuh perhatian kepada syarahan Dr.Maisarah. Dia selalu tersilap
waktu untuk cuba mendekati gadis pujaannya itu. Lantaran itu, setiap kali cuba
mendekati Khazinatul Asrar, dia pasti dimarahi secara lembut tetapi tegas olehnya.
Malah, sejak awal perkenalan, dia tidak pernah diberi walau seulas senyuman sekalipun.
Namun, Tsabit adalah seorang pemuda yang tidak mengenal erti serik dan jemu.
Sopan santun, kelembutan, keayuan, akhlak dan keperibadian Khazinatul Asrar
membakar semangatnya untuk tidak tewas memenangi hati gadis tersebut. Saban waktu,
malamnya ditemani mimpi seraut wajah yang bermahkotakan tudung labuh sebagai
penghias diri dan dilindungi jubah, sunnah sahabiah. Dia igaukan seorang bidadari yang
beridentitikan Muslimah sejati.

‘Tomorrow…please present this topic. ..’" Dr Maisarah mengakhiri sesi kuliyahnya yang
telah sejam berlalu.
"Astargfirullahal azhim…apa yang aku dapat hari ni?" spontan Khazinatul Asrar
menuturkan kata–kata itu membuatkan Tsabit berpaling kepadanya. "Kenapa Asrar?"
Tsabit memberanikan diri bertanya. Prihatin.
"Err.. nothing!" Khazinatul Asrar cepat–cepat berdalih dan mula menyibukkan diri
mengemas buku–buku di hadapannya.
"Saya tahu, awak tak salin apa–apa nota tadi, kan? awak fikirkan sesuatu ye?!" Tsabit
cuba menduga. Memang sepanjang kuliah matanya sering menjeling-jelling. Khazinatul
Asrar bingkas bangun dari kerusinya untuk segera mengakhiri perbualan yang tidak
diminta itu.
"Maaf, saya nak pulang dulu," getusnya seolah–olah acuh tak acuh dengan pertanyaan
Tsabit.
"Ish, sombongnya!" keluh Tsabit.
"Sombong pun sombonglah.. thanks!’" balas Khazinatul Asrar bersahaja. Langkahnya
mula diatur. Pantas Tsabit memintasnya.
"Nanti…!" halang Tsabit. Khazinatul Asrar menundukkan pandangannya. Tidak sanggup
untuknya menentang renungan mata dari pemuda yang berdarah Melayu- Libya itu. Dia
hanya mampu mendengus lemah. Geram bila langkahnya disekat.
Hatinya berzikir.
"Err…Kalau awak sudi, pinjamlah nota saya nie," sambil tangannya menghulurkan
sebuah buku nota yang cantik bersampul biru muda.
"Terima-kasih jealah…saya boleh merujuknya semula dengan rakan-rakan perempuan
yang lain," balas Khazinatul Asrar. Menolak.
"Kalau macam tue, awak tolonglah pinjamkan nota saya nie untuk Hijriah." Tsabit masih
tidak berputus asa. Dia tahu Hijriah sebilik dengan Khazinatul Asrar. Masih ada strategi
lain!
"Sekali lagi, terima kasihlah saudara. Hijriah pun boleh merujuk nota lain bersama saya
nanti. Lebih baik saudara bawa pulang saja nota saudara nie dan buat revision untuk
presentation esok," tegas Khazinatul Asrar.
"Ish, sombong betullah. Tak baik tau! Allah tak suka orang sombong. Baca dalil karang,
baru tau…" Tsabit mula geram dengan penolakan demi penolakan.
"Jangan memandai dengan dalil, tengok situasilah. Allah lagi tak suka orang…" kata-kata
Khazinatul Asrar cepat–cepat dipotong….
"Awak memang tak sudi dengan nota saya dan macam–macam alasan awak bagi.

However, saya amanahkan awak pinjamkannya untuk Hijriah." Tsabit bernada merajuk
dan meninggalkan notanya diatas kerusi sambil berlalu pergi. Khazinatul Asrar
menggeleng–gelengkan kepalanya. Dia berasa geli hati dengan perbuatan Tsabit yang
beria–ria untuk meminjamkan buku notanya. Bagaikan hanya dia seorang sahaja yang
menyalin nota Dr.Maisarah. Setelah difikir–fikir, Khazinatul Asrar akhirnya membawa
pulang nota Tsabit itu untuk diberikan kepada Hijriah memandangkan perkataan
‘mengamanahkan’ yang Tsabit tuturkan.

Langkahnya disusun kemas untuk pulang ke kamsisnya. Lamunan tentang Hijriah hadir
lagi, seolah–olah episodnya bersambung sejak dari dewan kuliah tadi.
Hijriah belum pernah ponteng kuliah seperti hari ini. Sebagai teman sebilik, dia terlalu
ingin tahu keadaan Hijriah di saat itu. Sakitkah dia? Khazinatul Asrar mula berasa
bersalah terhadap dirinya sendiri yang mungkin terlalu sibuk mengejar waktu hingga
agak mengabaikan situasi teman sebiliknya itu sejak kebelakangan ini.
Penglibatannya sebagai salah seorang perwakilan pelajar PMUKM ( Persatuan
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ) sudah cukup membuatkan hari–hari yang
dilaluinya terlalu padat dan singkat. Tenaga, wang dan waktu lapang banyak dikorbankan
untuk perjuangannya di kampus itu. Waktu malamnya pula dihabiskan untuk menyiapkan
assignment di Perpustakaan Tun Sri Lanang, perpustakaan terbesar di asia tenggara.

Baginya tiada istilah rehat selagi dia tidak mampu menyeimbangkan sebijaksana
mungkin masa yang dia ada untuk menunaikan tanggung jawab. Khazinatul Asrar
menyedari kebenaran kata–kata As-Syahid Al-Iman Hassan Al-Banna:
"…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada."
~Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan…tiada siapa yang bisa memisahkan
kita…antara kita semua…~
Dari tangga kamsis lagi, lagu favourite Hijriah itu bergema kedengaran. Kuat sekali.
Khazinatul Asrar menggeleng–gelengkan kepalanya dan terus menyusun langkah menuju
ke biliknya yang terletak di barisan ketiga, level 1. Tidak syak lagi, irama nasyid
dendangan In-team itu memang datang dari biliknya. Dia dapat menduga bahawa Hijriah
pasti ada di dalam bilik.

"Hijriah. Asrar balik nie!" pintu yang tidak berkunci itu dikuaknya perlahan–lahan.
Salamnya tiada jawapan. Didapatinya Hijriah sedang tidur dengan bantal ditelangkupkan
diatas kepala. Kipas siling berputar ligat dengan penunjuk mengarah full. Lagaknya
bagaikan orang yang ada masalah.
Khazinatul Asrar memperlahankan volume radio kerana bimbang mengganggu penghuni
lain. Serentak dengan itu Hijriah terjaga dari lenanya yang mungkin tidur – tidur ayam
sahaja.

"Eh, Asrar dah balik rupanya…" Hijriah berkata lembut sambil membetulkan kedudukan
bantalnya. Khazinatul Asrar mengukir senyuman. Perlahan–lahan dia menghampiri
Hijriah dan duduk di sebelahnya. Tangannya menjamah dahi Hijriah.
"Tak panas pun!" kata Khazinatul Asrar perlahan.
"Sejak bila pula saya demam?" balas Hijriah bersahaja.
" Habis tue kenapa tak datang kuliyah pagi nie?" tanya Khazinatul Asrar pula.
"Err…topik baru ke hari nie?" Hijriah cuba mengalih perbualan.
"Hijriah…saya tanya nie!" Khazinatul Asrar tidak mahu Hijriah menyembunyikan
sesuatu. "Kenapa nie?" Khazinatul Asrar memujuk lembut.
"Tak ada apa–apa…betul!" Hijriah masih membuat aksi selamba.
"Habis tue, pagi tadi awak bersiap–siap bukan untuk ke kuliyah?"
Khazinatul Asrar masih tidak berpuas hati dengan jawapan Hijriah.
"Saya ke Mini Market. Beli Coklat Dairy Milk 10 packs untuk hilangkan tension," jelas
Hijriah berterus–terang.

"Kalau tak percaya, tengok dalam basket tu. Penuh plastik coklat, kan?!" Hijrah
menguatkan kenyataannya.
"Hilangkan tension dengan coklat??? Hijrah yang saya kenali biasanya menatap Al-
Quran bila ada masalah," getus Khazinatul Asrar masih curiga.
"Saya tak ada apa-apa. Percayalah Asrar! Saya Cuma tension sikit saja pagi
tadi…sekarang dah okey," sambil bibirnya mengukir senyuman hambar.
"Kenapa tension sampai ponteng kuliyah?" Khazinatul Asrar terus bertanya. Hijriah
terdiam.
"Ada masalah ye?! Kongsilah…" pujuk Khazinatul Asrar lagi.
"Tak ada lah…. mungkin nak period kot sebab tulah rasa tension," Hijriah terus berdalih.
" Period? Bukankah baru seminggu lepas…." Khazinatul Asrar mencelah. Mematahkan
alasan yang mungkin sengaja direka–reka.
"Hijriah, kalau ada masalah, saya sentiasa bersama awak. Saya sentiasa sedia mendengar
apa saja. Janganlah macam ni…" Khazinatul Asrar masih tidak jemu memujuk
sahabatnya.

Raut wajah Hijriah jelas menyembunyikan sesuatu. Dia tetap enggan menceritakannya
kepada Khazinatul Asrar. Tidak seperti selalu. Dia sebenarnya seorang yang ceria dan
berterus – terang. Namun, tidak untuk kali ini….
"Alah Asrar nie…lupakanlah perkara tue. Lain kali, saya janji tak ponteng kuliyah lagi,"
Hijriah seolah – olah mula bosan dengan desakan Khazinatul Asrar.
"Betul tak ada apa- apa ni?" Khazinatul Asrar cuba menduga lagi.
"Awak dah tak percaya saya lagi ke?" kata Hijriah seakan merajuk.
"Okey,okey.. kali nie awak boleh sembunyikan sesuatu dari saya, tapi esok–esok tidak
lagi, tau!"
"Oh, ya! Nie nota Tsabit tentang topik hari ni. Awal pagi esok ada presentation,"
sambil nota bersampul biru itu diserahkan kepada Hijriah. Mata Hijriah sedikit terbeliak.
Tangannya pantas menyambut dan membelek – belek buku nota tersebut.
"Tsabit suruh berikan kepada saya?" tanya Hijriah minta kepastian.
"Emm…" Khazinatul Asrar menjawab ringkas. Malas diceritakan kembali peristiwa tadi.
Pemuda itu sering membuatkannya geram hinggakan dia terasa malas menyebut nama itu
berulang kali.
"Kenapa tiba–tiba saja Tsabit boleh teringatkan saya? Pelik ni!" Hijriah bertanya sambil
tangannya terus membelek–belek nota itu.
"Dia sukakan awak kot…." Khazinatul Asrar cuba mengusik, sengaja mahu melihat
reaksi temannya. Tiada respon marah. Sebaliknya Hijriah mula tersenyum – senyum
sendiri.

"Ish, lain pula jadinya…" Bisik hati kecil Khazinatul Asrar.
"Asrar, dia tak cakap apa-apa tentang saya?" Hijriah nampak semakin berminat
bertanyakan Tsabit. Khazinatul Asrar menarik nafas. Dia mula mencari alasan untuk
menyegerakan dirinya bebas dari bercakap pasal Tsabit.
"Tengah – tengah hari nie, saya nak tidur qoilulah dulu lah. Lepas zohor nanti, saya ada
usrah. Petang ni pula ada meeting. Lain kali sajalah kita cakap pasal dia!"
badannya terus direbahkan ke katil sambil mata dipejamkan. Sengaja diceritakan aktiviti–
aktivitinya pada hari itu untuk menagih simpati Hijriah agar mengizinkannya berehat.
Hijriah mencebik bibir sambil fikirannya menerawang jauh. Entah ke mana.
Wajahnya kembali berserabut kerana memikirkan sesuatu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Music

ME..