Isnin, 27 Oktober 2008

Seindah Mawar berduri ep5

"Asrar, awak takkan faham kalau awak tak pernah bercinta. Saya sekarang dah dilamun
cinta. Awak ingat nak lawan fitrah ni perkara senang ke? Susah tau!" Hijriah bertegas.

"Hijriah, benda yang susah nilah satu imtihan dari Allah untuk menguji tahap iman awak.
Awak tak ingin ke berusaha mencapai keimanan tahap 4 plat ? ya’ni mencari
kesempurnaan iman. Sabarlah dulu pada setiap ransangan nafsu.
Perkara yang Allah haramkan ni sekejap jea, Cuma dalam tempoh belum bersedia nak kahwin ni jea…
perkara yang halal dalam Islam lagi luas nanti. Didiklah sikit nafsu tu agar tak mengatasi
akal. Dah tak lama pun untuk awak rasai cinta lelaki bernama suami. Penuh redha Ilahi.
Sabarlah… tahan dulu rasa cinta tu untuk diluahkan pada waktu yang sepatutnya nanti.
Tentu kemanisannya lebih terasa dan yang penting diiringi rahmat Allah S.W.T.
Kudusnya mujahadah memelihara cinta di atas landasan-Nya.

Dr. Rosmawati dah pun menerangkan secara panjang lebar tentang indahnya cinta selepas
kahwin ketika kita mengikuti Bengkel Mekar Setaman di UM dulu… masih ingat tak
lagi?" jelas Khazinatul Asrar.

"Tapi, saya nak jadi isteri Tsabit! Nanti takut tak kesampaian…" luah Hijriah.
Khazinatul Asrar merenung lemah wajahnya. Lidahnya beristighfar lagi untuk kesekian
kalinya.

"Apa yang cuba saya sampaikan nampaknya tak kesampaian. Awak masih kurang
faham…" keluh Khazinatul Asrar berbaur hampa.

"Memang… memang saya tak faham dan saya tak mahu faham. Kehadiran awak
sebenarnya untuk merampas sesiapa saja yang ingin saya cintai. Kau ni perampas!
Pencuri! Jangan cuba rampas Tsabit dari saya…." Hijriah bingkas bangun dari kerusi.
Buku nota berwarna biru itu dihempas kasar ke meja seolah-olah satu luahan kemarahan.
Khazinatul Asrar terkejut dan tidak menyangka Hijriah sanggup sekasar itu dengannya.
Khazinatul Asrar beristighfar panjang lagi.
Kenapakah tiba-tiba sahaja konflik tercetus. Dahsyatnya peranan syaitan meracuni
kefahaman temannya.

Dia juga kesal dengan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya sebagai perampas dan
pencuri. Jiwanya tersentak.
Buku yang ditinggalkan di depannya itu dibelek-belek lembut. Fikirannya berserabut dan
bercelaru. Dia menyalahkan dirinya sendiri yang mungkin terlalu lemah dalam
menyampaikan hujahnya kepada Hijriah menyebabkan Hijriah mula tersalah tafsir.

"Mungkin methodku tidak kena.." bisik hatinya. Di samping itu, dia memperbanyakkan
zikir untuk mencari ketenangan hati. Semakin direnung-renung buku itu, persoalan lain
pula yang bertandang di mindanya. Tiba-tiba sahaja dia terfikir sesuatu.

"Warna yang sama!" bisik hatinya,. Tangannya terus mencapai nota biru yang masih
terselit di dalam failnya. Dia cuba membanding-bandingkan warnanya. Ternyata sama
sahaja. Lagipun Tsabit gemar memakai baju berwarna biru lembut ke dewan kuliah.
Mungkin warna kegemarannya. Hatinya mengesyaki sesuatu.

"Kalau Tsabitlah orang yang menggangguku dengan nota itu, apa yang dituntutnya?"
fikirnya. Namun, dia tidak mahu menuduh sembarangan. Bimbang tersilap membuat
perhitungan. Terngiang-ngiang pula di telinganya title ‘perampas’ dan ‘pencuri’ yang
Hijriah tuturkan. Pencuri? What’s up? Apa yang aku curi? Apa sebenarnya ni?
Keresahan terhadap konflik yang tercetus antaranya dengan Hijriah dibebani pula dengan
persoalan nota misteri. Hatinya bertasbih memuji kebesaran Ilahi yang Maha
Mengetahui. Minta diberi kekuatan. Apakah situasi yang bakal dihadapinya nanti.

Mungkin dia perlu mengalah dan meminta maaf daripada Hijriah. Lagipun, Hijriah
mudah dipujuk dan marahnya tidak berlaratan. Hatinya lembut.

"…Ya Allah, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Mu yang sebenar…"
Doa Robithoh dijadikan penawar resah hatinya. Buku-bukunya yang berselerak mula
dikemas. Keresahan yang bersarang tidak mengizinkannya untuk meneruskan revision.
Langkahnya diatur pantas untuk segera tiba di biliknya, berjumpa Hijriah.

Di suatu simpang, dia bertembung dengan Intan Izma yang menyapa lembut. Gadis
sebelah biliknya itu memang peramah. Suka mengambil berat masalah orang.
Sesuailah dengan statusnya memilih course Undang-undang. Semua masalah nak
diselidikinya… bakal peguamlah katakan.

"Asrar, kenapa tak temankan Hijriah ke stesyen komuter. Katanya tadi nak balik Kajang."
Intan Izma bersahaja gayanya. Khazinatul Asrar agak terkejut dengan berita itu.
"Hijriah balik? Intan tak tanya berapa hari dia nak balik?" garis-garis keresahan terjalur
pada wajah tenang itu.

"Marahkah dia?" detik hatinya.
"Eh, macam mana teman sebiliknya boleh tanya saya pula, gaduh ya?" duga Intan Izma.
Dia memang cekap menduga suasana.

"Gaduh? Tak adalah… tak sefahaman sedikit je. Insya-Allah, tak lama," jujur pengakuan
Khazinatul Asrar. Dia tahu kalaupun dia berdalih Intan Izma pasti dapat menghidunya
juga.

"Biasalah tu Asrar, asam garam persahabatan. Alah…jangan bimbang, dia balik sekejap
jea tu. Kajang bukan jauh sangat. Nak berulang hari-hari pun tak jadi hal punya. Lagipun
Hijriah tak ada bawa beg besar. Handbeg jea. Handbegnya tu membuktikan dia bukan
bertujuan nak balik lama. Tapi itu bukanlah hujah yang konkrit sebab mungkin dia dah
ada simpanan baju kat rumah. So, buat apa nak bawa beg besar-besar, kan?!" Intan Izma
rancak berceloteh. Sepatah ditanya, serangkap perenggan dibalasnya. Bagaikan berada di
mahkamah pula.

"Tak apalah Intan. Terima kasih kerana beritahu saya hal nie. Hah, Intan nak ke mana
pulak ni?" Khazinatul Asrar cuba meringkaskan pertemuan. Dia dah cukup faham kalau
dilayannya lawyer sorang ni, 24 jam pun tak cukup.

"Saya nak ke kamsis Dato’ Onn. Jumpa Chee Wah. Nak Tanya dia pasal handset dia yang
tercicir tu samada dah jumpa atau belum. Dia tu pelupa. Dia cakap tercicir tapi ada
kebarangkalian handsetnya tu dicuri berdasarkan fakta yang diberi. Lagipun kes kecurian
handset bukanlah benda asing lagi kat sini. Chee Wah ni kena siasat betul- betul
sepatutnya. Tak mustahil roommate dia sendiri yang mencuri. Bukan semua roomate
boleh dipercayai. Ni saya nak cuba selidik kes dia ni… tak boleh biarkan
Chee Wah ni settlekannya sendiri," jelasnya panjang lebar. Selepas itu, mereka membawa
haluan masing-masing.

Setibanya di bilik, Khazinatul Asrar mendapati ada sekeping nota berwarna biru lembut
di atas katilnya.

##Asrar, saya minta maaf atas apa yang berlaku. Izinkan saya balik ke Kajang untuk
menenangkan fikiran. Saya berasa malu atas perlakuan saya tadi. Beberapa hari lagi saya
akan kembali. Maafkan saya…##

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Music

ME..