Jumaat, 22 Mei 2009

>>Solat Jumaat>>




Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.


Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," - Al-Jumu'ah: 9


Sabda Rasulullah SAW:

"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud & Hakim.


Syarat wajib solat Jumaat:

1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.


Syarat sah solat Jumaat:

1. Didirikan di dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.


Rukun-rukun khutbah Jumaat:

1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan: "Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."


Syarat sah Khutbah Jumaat:

1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara segala rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.




Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:

1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.

Para ulamak telah bersepakat, solat Jumaat wajib didirikan secara berjemaah. Tetapi mereka berselisih pendapat tentang bilangan ahli jemaah yang membolehkan solat Jumaat dilakukan. Ibn Hajar telah menghimpunkan 15 pendapat ulamak tentang bilangan ahli jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dalam kitabnya yang masyhur Fath Al-Bari.
Menurut pendapat dalam madhhab Asy-Syafii, solat Jumaat boleh didirikan jika bilangan jemaah seramai 40 orang yang bermukim dan kesemuanya lelaki yang layak menunaikan solat Jumaat, termasuklah imamnya. Namun begitu solat Jumaat tetap sah walaupun bilangan ahli jemaah kurang dari 40 menurut imam Abu Hanifah, imam Malik dan Imam Asy-Syawkani. Imam-imam ini mempunyai pendapat tersendiri tentang bilangan ahli jemaah yang melayakkan solat Jumaat ditunaikan.

Pada masa ini bilangan ahli jemaah yang membolehkan solat Jumaat bukanlah satu masalah memandangkan jumlah penduduk yang mengerjakannya ramai. Tetapi jika masih terjadi kekurangan di kawaasan minoriti umat Islam, kita masih boleh mendirikannya dalam jumlah ahli jemaah yang tidak sampai 40 orang seperti yang telah dihuraikan oleh syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya Fiqh As-Sunnah, kerana menurut pandangan beliau tidak didapati satu hadis yang benar-benar jelas menentukan jumlah bilangan ahli jemaah solat Jumaat.

Walaupun begitu fuqahak Asy-Syafii menghukumkan solat Jumaat yang dilakukan oleh jemaah yang kurang dari 40 orang sebagai tidak sah, kerana berpegang dengan hadis yang menjelaskan solat Jumaat perlu mencukupi bilangan 40 orang. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah. As’ad bin Zararah yang merupakan orang yang pertama mengumpulkan orang ramai untuk mendirikan solat Jumaat melakukannya dalam jemaah yang terdiri dari 40 orang yang bermukim.

dalam sejarah hidup Rasulullah SAW sendiri menjelaskan baginda melaksanakan solat Jumaat dalam bilangan yang tidak kurang dari 40 orang sebagaimana yang dijelaskan oleh syeikh Taqiyyuddin Al-Husaini dari kalangan fuqahak Asy-Syafii. Ini bermakna jika bilangan 40 orang tidak wujud, maka hukumnya tidak boleh ditunaikan solat Jumaat sebaliknya ditunaikan solat Zohor sahaja.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tima kaseh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Music

ME..